Friday, March 9, 2012

Azizan: Terkorbannya seorang lagi ulama Pas

TAHNIAH kepada ahli-ahli Pas yang telah menjadikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan sebagai harimau tanpa gigi.

Beliau khabarnya kini hanya sebagai Menteri Besar boneka yang berfungsi sebagai jurucakap keputusan Jawatankuasa Pemandu.

Dalam erti kata sebenar, Azizan tidak layak membuat keputusan malah gagal dalam tugas beliau sebagai Menteri Besar. Bagi saya itu penghinaan besar yang dilemparkan oleh ahli-ahli Pas kepada Azizan.

Tahniah juga kepada golongan ulama Pas yang kini sudah ramai tersungkur dan lesu. Ramai yang telah ditalkinkan oleh ahli-ahli Pas sendiri. Inilah hikmahnya bersahabat dengan PKR dan DAP.

Dalam keadaan PKR yang semakin lesu, saya ingin mencadangkan agar Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dicalonkan sebagai Presiden Pas pula untuk pemilihan akan datang.

Saya yakin beliau boleh menang besar dengan mengalahkan Datuk Seri Hadi Awang. Ini kerana pengaruh Anwar dalam Pas amat besar. Ahli-ahli Pas pun amat menyukai beliau. Mungkin untuk menjadi Mursyidul Am pun beliau layak. Lebih mudah untuk beliau menjadi Perdana Menteri nanti.

Janganlah kita terkejut sekiranya suatu masa nanti Anwar dan Azmin yang mengepalai Pas. Mereka telah pun menyusun penyokong mereka dalam saf kepimpinan Pas. Cuma menunggu masa dan detik yang sesuai untuk impian ini menjadi kenyataan.

Tahniah untuk ahli-ahli Pas, anda memang hebat. Seorang demi seorang pemimpin golongan ulamak anda cantas.

Strategi Anwar mengena, pemimpin dan ahli Pas terkena!
ilham FAUZI ASMARA
Guar Chempedak, Kedah.

Mansuh caj pinjaman PTPTN

Lembaran tahun 2012 dibuka dengan pelbagai insentif kerajaan kepada rakyat. Yang paling popular buat masa sekarang ialah skim bantuan rakyat BR1M. Paling terbaharu ialah pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memberikan diskaun 50 peratus tol Lebuhraya Cheras - Kajang. Ini boleh diibaratkan hadiah untuk rakyat, terutama bagi pengguna lebuh raya berkenaan.

Tetapi apa yang lebih besar dan sentiasa menjadi isu ialah caj satu (1) peratus kepada peminjam PTPTN. Untuk rekod, kerajaan telah mengurangkan caj ini daripada empat peratus kepada satu peratus. Tetapi amat wajar jika kerajaan memansuhkan terus caj satu peratus kepada kesemua peminjam PTPTN sebagai hadiah buat rakyat.

Manakala bagi peminjam PTPTN yang telah mendapat pekerjaan, tunaikan kewajipan dengan membayar balik pinjaman.

Saya percaya pemansuhan caj satu peratus amat realistik dan boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan supaya rakyat bertambah yakin kerajaan boleh melaksanakan sesuatu janji tanpa mereka-reka pelbagai manifesto pilihan raya.

Jika pengumuman ini dibuat sebelum PRU -13, sokongan kepada kerajaan makin bertambah dan kuat terutama daripada golongan muda atau lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana majoriti mereka ini peminjam PTPTN. Biarlah kerajaan dituduh memancing undi asalkan peminjam mendapat manfaat atas keprihatinan kerajaan.

Saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan, terutama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak PTPTN, agar diberi sedikit diskaun kepada pelajar di peringkat ijazah pertama yang mendapat kepujian kelas kedua (atas) iaitu CGPA 3.0 ke atas dalam pembayaran balik pinjaman mereka. Diskaun ini diberikan berdasarkan dua syarat:

n Diskaun diberikan kepada mereka yang membuat permohonan kepada pihak PTPTN.

n Diskaun diluluskan bagi peminjam yang telah mula membuat pembayaran balik peminjam mereka.

Bagi peminjam tegar dan degil yang tidak membayar balik pinjaman mereka walaupun telah mendapat pekerjaan tetap, sewajarnya tiada diskaun diberikan kepada mereka.

Saya percaya nilai berapa peratus diskaun tidak penting. Yang lebih penting ialah keprihatinan dan kemampuan kerajaan dalam melaksanakannya. Kita mahu rakyat juga realistik dalam hal ini. Jika cadangan diskaun ini dilaksanakan ia akan memberi motivasi secara tidak langsung kepada pelajar untuk mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka.

Cadangan diskaun di peringkat ijazah pertama dipilih kerana secara tidak langsung akan membolehkan pelajar lepasan diploma berminat untuk menyambung pelajaran dan mendapat keputusan yang cemerlang. Jadi apa yang lebih penting sekarang dan dalam jangka masa terdekat, kerajaan bersedia untuk mengumumkan pemansuhan caj satu peratus ini.

Bayangkan jika pelajar meminjam pinjaman PTPTN di peringkat diploma dan ijazah, pelajar ini terpaksa membayar dua kali caj satu peratus ketika membayar balik pinjaman mereka nanti. Sudah pasti pengumuman pemansuhan caj satu peratus ini akan disambut dengan gembira oleh peminjam dan sewajarnya peminjam berterima kasih kepada kerajaan dengan membayar balik pinjaman mereka.
Petikan..ALNORULHADI AB HAMID
Kota Bharu, Kelantan

Friday, March 2, 2012

Penjimatan bayaran Tol

KAJANG: Pengguna Lebuhraya Cheras-Kajang kini menikmati penjimatan bayaran tol sehingga 50 peratus berikutan pemansuhan bayaran di dua plaza tol, mulai jam 12 tengah malam tadi.

Pemansuhan bayaran RM1 di Plaza Tol Batu 9 menghala Kuala Lumpur dan 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala Kajang itu akan memberikan penjimatan kepada 120,000 pengguna harian.
Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak depan lebih 10,000 hadirin, termasuk mereka yang sering menggunakan lebuh raya itu pada Majlis Pecah Tanah Projek Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Bandar Sungai Long, dekat semalam.
Beliau berkata, penghapusan tol bertujuan mengurangkan beban rakyat yang kerap menggunakan lebuh raya itu, terutama mereka yang berulang-alik beberapa kali sehari.

“Kalau dulu bayar RM3.80, sekarang bayar RM1.90 saja, iaitu pengurangan 50 peratus dan ini memberi manfaat kepada 120,000 pengguna setiap hari,” katanya sambil disambut sorakan serta tepukan gemuruh hadirin.

Perdana Menteri berkata, pemansuhan itu juga bagi memenuhi janji Barisan Nasional (BN) yang memperjuangkan isu berkenaan sejak 2009. Malah, ketika menghadiri majlis berbuka puasa di Hulu Langat tahun lalu, beliau berkata, BN dan UMNO bahagian melalui ketuanya, Datuk Johan Abdul Aziz, turut membangkitkan isu berkenaan.

“Ini bukan isu yang dibawa pihak lain. Ia dibawa oleh BN sendiri. Dalam ucapan saya pada majlis itu, saya menyarankan Kementerian Kerjaraya dan menterinya mengkaji kutipan tol bertujuan mengurangkan beban rakyat yang menggunakannya setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata, BN turut memenuhi janji kepada penduduk Bandar Sungai Long, terutama masyarakat Cina untuk membina sebuah SRJKC dengan menyediakan tapak seluas 2.39 hektar bernilai RM20 juta.

Pada majlis sama, beliau menyampaikan cek RM4.5 juta kepada lembaga pengurus sekolah itu bagi melaksanakan pembinaan 36 bilik darjah yang mampu menampung kapasiti 1,500 pelajar.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuat keputusan menjadikan tanah itu sebagai tapak SRJKC berkenaan walaupun pada asalnya ia dicadangkan sebagai tapak untuk sekolah kebangsaan (SK) berikutan kesukaran mendapatkan tapak lain di kawasan itu.

“Kerajaan BN tidak mungkir janji. Jika pihak lain bertempik kononnya memperjuangkan isu ini... berilah tapak lain. Kenapa mereka tidak memberi tapak lain walhal mereka ada kuasa untuk meluluskannya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Plaza Tol Batu 9 malam tadi mendapati penyokong BN dan pembangkang masing-masing berkumpul di plaza tol berkenaan bagi meraikan pemansuhan tol.

Kedua-dua kumpulan mula berkumpul di tepi lebuh raya dan saling bersorak seawal jam 10 malam, sebelum diarah bersurai oleh polis kira-kira jam 12.45 pagi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sunday, February 26, 2012

Pas tak percaya calon sendiri

KENYATAAN pimpinan Pas untuk melaksanakan dasar bai'ah yang jika dilanggar akan celaka dunia dan akhirat merupakan satu langkah terdesak kepimpinan parti itu untuk menghalang calon-calon yang menenangi pilihan raya menyertai parti lain.

Sikap kepemimpinan Pas penuh dengan prejudis dan tidak yakin dengan ahli-ahlinya boleh menang dalam pilihan raya akan datang menyebabkan Pas mengenakan syarat yang paling bercanggah dengan kaca mata Islam termasuk mengenakan peraturan bersumpah dan bai'ah yang mengugat keharmonian kedamaian kehidupan dan rumah tangga bagi mereka yang berkeluarga.

Dasar Pas ini mencerminkan sebuah organisasi politik yang mempunyai para pengikut yang longgar taat setia kepada parti berikutan Islam diperjuangkan oleh Pas tidak mematuhi lunas-lunas Islam seperti bersekongkol dengan golongan anti-Islam dan menjadikan Islam sebagai platform untuk meraih kuasa politik.

Lihat sikap Pas yang membina kuasa politiknya lebih 20 tahun di Kelantan tapi gagal melaksanakan dasar Islam dan juga pembangunan modal insan dan merupakan negeri yang penduduknya paling ramai menghidap penyakit HIV dan Aids.

Fenomena itu memberi gambaran bahawa pelaksanaan amalan kehidupan berakhlak di kalangan rakyatnya amat diabaikan malah kejadian seksual yang membawa kepada kejadian HIV dan Aids tertinggi merupakan malapetaka yang amat menakutkan.

Selama lebih 20 tahun Pas memerintah Kelantan ia masih bercita-cita untuk terus berkuasa hanya semata-mata untuk terus bertapak tanpa sebarang perancangan untuk menyumbang kepada perubahan dalam semua aspek. Pengumuman pelbagai program dan yang terbaru projek pembinaan lebuh raya Kota Bharu ke Kuala Krai dalam jumlah peruntukan yang besar dan sebelum ini mengumumkan akan melaksanakan projek Bandar Pelabuhan di Kuala Krai dan Pangkalan Kubur, Tumpat pula hanyalah satu gimik politik murahan yang penuh dengan retorik.

Kita melihat amat ketara kegagalan Pas untuk menyumbang kepada transformasi kepada rakyat dan masa depan Kelantan yang kini pengaliran wang dalam ekonomi negeri itu banyak bergantung kepada pengurusan dan pentadbiran agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dalam jumlah beratus juta ringgit sebulan dan sumber kewangan dari anak-anak negeri ini yang bekerja di luar Kelantan.

Mereka turut menyumbang kewangan kepada keluarga di kampung menerusi bank-bank yang dipercayai bernilai jutaan ringgit dari semasa ke semasa yang mendorong aktiviti ekonomi berkembang sedangkan sumber kewangan dalam negeri amat daif yang menyaksikan jumlah pengangguran yang tinggi.

Dalam tempoh lebih 20 tahun kerajaan negeri diperintah Pas kita dapati sumber pendapatan kerajaan negeri mengalami defisit yang berterusan sedangkan hasil terus berkurangan, manakala kos perbelanjaan dan pengurusan terus melonjak dan bila perkara ini berlaku tidak ada senjata lain yang akan digunakan oleh Pas selain terpaksa menyerang kepemimpinan Kerajaan Persekutuan yang tidak mahu membayar royalti petroleum dan sebagainya.

Sudah banyak harta-harta hasil 'tawanan' perang selepas pilihan raya dalam tempoh lebih 20 tahun memerintah Kelantan telah jatuh ke tangan pihak-pihak lain.

Semasa UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah Kelantan sebelum jatuh ke tangan Pas pada 1990 program pembangunan dan infrastruktur berjalan lancar termasuk pembinaan kompleks Kota Darulnaim yang tersergam indah di pinggir bandar Kota Bharu yang sekarang sebagai markas pentadbiran kerajaan pimpinan Pas. Semasa bangunan itu mula dibangunkan oleh Kerajaan BN, Pas, sebelum dapat berkuasa, mendakwa bangunan itu merupakan kuil Buddha.

Tetapi sindiran yang tidak Islamik itu terhenti apabila Pas berjaya mentadbir Kelantan yang menjadikan jentera kerajaan negeri terus kekal di bangunan yang dilabelkan sebagai kuil Buddha dan politik Pas tidak akan kukuh dan kuat tanpa bermain dengan ungkapan yang buruk dan murahan.

Aduhai rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain bangunlah secara kolektif dan bertanggungjawab kepada bangsa dan Islam. Marilah sama-sama memberi laluan kepada sebuah kerajaan yang mampu memikul amanah rakyat bagi membina sebuah kerajaan yang tidak berlandaskan kepada penipuan dan retorik.

Orang Melayu tidak peduli?

Saya ingin menarik perhatian ramai mengenai sikap orang Melayu sekarang yang sudah tidak peduli, tidak mahu ambil tahu, tidak kesah, tidak ambil 'pot' sehingga menyebabkan mereka ketinggalan dalam banyak hal.

Apa yang berlaku amat menyedihkan kerana ini akan membuat kita akan terus ketinggalan ke belakang. Banyak contoh depan mata dapat kita lihat, malah tabiat ini lebih terserlah diamalkan generasi muda kita:

* Sebagai warganegara mereka tidak peduli mendaftar untuk mengundi, tidak kesah dengan hala tuju negara.

* Tidak peduli dan ambil tahu apa yang berlaku, malah ramai tidak membaca untuk mengetahui apa berlaku di sekeliling, banyak masa dibuang di talian internet, malah mudah untuk mempercayai apa terdapat dalam pengisiannya, tidak kesah dan ramai percaya serta menerima isi kandungnya bulat-bulat.

* Tidak peka dengan persekitaran di mana mereka berada dengan membuang sampah merata-rata selepas ada sesuatu majlis, pesta dan ceramah.

* Tidak peduli dengan peraturan dan undang-undang ketika memandu, menunggang motosikal, contohnya apabila sampai persimpangan lampu isyarat, ramai melanggar lampu merah, malas hendak tunggu hingga hijau. Kejadian ini terjadi di merata-rata tempat di Malaysia.

* Tidak peduli anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen di kampung dan ke sekolah, malah tidak peduli memakai topi keledar untuk menjaga keselamatan diri.

* Ramai yang tidak peduli dengan penjualan tanah milik orang Melayu di kampung dan juga di pekan kecil kepada bukan bumiputera. Orang Melayu di pejabat tanah tidak peduli tanah tergadai. Ini berlaku di seluruh Malaysia.

* Tidak peduli membiarkan anak-anak yang sepatutnya bersekolah mengutip derma atas nama masjid, madrasah dan sekolah tahfiz. Mereka sekarang ini terdapat di R & R, stesen minyak, depan bank, pintu pasar raya, malah sekarang ini disediakan resit. Mereka ini mengutip derma hingga tengah malam.

* Tidak peduli dengan iklan haram jual ubat kuat, pinjaman wang ah long dan iklan jual rumah oleh ejen haram, iklan urut juga sekarang ini terdapat merata-rata, tidak ada tindakan, siapa kesah?

* Tidak peduli dengan kedatangan ramai warga Afrika atas alasan belajar dan melancong, siapa peduli mereka sudah mula berniaga di jalanan dan malah membuka salon rambut dan barangan keperluan mereka di pasar raya.

* Tidak peduli berpolitik sehingga sanggup mengadai agama Islam yang suci demi untuk berkuasa di dunia ini.

* Tidak peduli, sanggup memberi sokongan kepada Israel kerana untuk kuasa.

* Bangsaku tidak peduli hingga sanggup menjual Islam dan maruah untuk kuasa dan wang. Bangsaku tidak kesah apa yang dia kata dulu hingga mengkafirkan orang.

* Tidak peduli dulu Negara Islam sekarang Negara Kebajikan, apa kesah kalau boleh ke Putrajaya bersama-sama pihak terang-terang anti Islam.

* Tidak peduli dangan fitnah, caci mencaci bangsa sendiri di hadapan bukan Islam asalkan dapat sokongan mereka untuk menang.

* Ada mahasiswa universiti yang tidak bersyukur dengan sumbangan yang diberikan untuk menimba ilmu, malah ada yang tidak peduli sanggup baring di atas jalan dan berdemonstrasi.

* Tidak peduli tanah di bandar dan pinggiran pekan dijual dan tidak kesah bangsaku terus hilang dan tinggal jauh dihujung kampung.

Ramai bangsaku yang masih tidak peduli, mereka terlupa apa yang terjadi hari ini akan dihadapi oleh anak cucu kita nanti. Pandanglah jauh ke depan demi agama, bangsa dan negara.

Monday, February 20, 2012

Israel: Anwar pentingkan diri

KEGHAIRAHAN Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sokongan untuk melindungi keselamatan negara Israel seperti dilaporkan oleh Wall Street Journal pada 26 Januari lalu bagaikan satu pengiktirafan ke atas kezaliman rejim zionis ke atas rakyat Palestin.

Ia juga bererti mengiktiraf penjajahan ke atas negara Palestin. Umat Islam tahu bahawa Israel ditubuhkan oleh pakatan Barat khususnya Britain dan Amerika Syarikat dengan tujuan dijadikan negara penampan supaya mereka dapat mengekalkan pengaruh dan kuasa ke atas negara-negara Arab yang majoritinya beragama Islam.

Pihak yang menjajah negara Palestin telah memecahkannya kepada dua. Rakyat Palestin bangun menentang. Umat Islam turut menentang kerana di situ terdapat Masjid al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam.

Sebagai negara penampan, AS dan Britain telah membenarkan Israel memiliki senjata nuklear dan pelbagai senjata yang lebih moden dengan harapan negara Arab akan tunduk kepada mereka.

Pada masa yang sama, Palestin dihalang memiliki senjata tersebut. Akibatnya ramai rakyat Palestin yang dibunuh dengan kejam oleh senjata moden Israel.

AS dan Britain hanya menyaksikannya sahaja manakala negara Arab tidak mampu membela kerana mereka sesama sendiri pun saling berbunuh-bunuhan.

Apa yang negara Islam bolehkan lakukan untuk menyelamatkan Palestin hanyalah membuat bantahan demi bantahan. Iraq, Mesir, Syria malah Iran dan lainnya pun masih sukar untuk membebaskan Palestin sebaliknya mereka pula yang dikenakan sekatan ekonomi dan dihuru-harakan seperti Iraq dan Mesir.

Namun, walaupun masih belum bebas dari cengkaman Israel, Amerika dan Britain, semangat jihad rakyat Palestin khususnya masih utuh. Tanpa senjata moden pun mereka masih boleh menentang Israel. Bagi mereka kematian adalah syahid.

Walaupun banyak darah rakyat Palestin telah tumpah di tangan Israel, rejim Zionis itu masih dibiarkan kekal berkuasa sehingga kini. Bahkan, mereka sedang mencari jalan pula bagaimana untuk mengalahkan Iran supaya kezaliman mereka ke atas Palestin dapat dilindungi dan tiada negara Islam yang berani mencabar kewujudan mereka di bumi Arab.

Justeru, sokongan Anwar Ibrahim untuk melindungi keselamatan Israel boleh menyebabkan beliau tersisih dari hati dan sanubari umat Islam sedunia khususnya di bumi Palestin.

Di Malaysia, kenyataan Anwar Ibrahim itu lebih menjurus kepada sikap mementingkan dirinya sendiri sahaja. Sikap mementingkan diri sendiri ini amat jijik sekali seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

"Perumpamaan bagi orang yang menegakkan hukum Allah dan orang yang merosakkannya bagaikan satu kaum yang menarik undi untuk menaiki sebuah kapal. Maka jadilah sebahagian mereka ada yang mendapat tempat di atas dan ada yang di bawah. Dan mereka yang berada di bahagian bawah, apabila hendak mengambil air, harus melalui mereka yang berada di atas. Maka mereka pun berkata: 'Alangkah baiknya kalau kami melubangi bahagian bawah kami tanpa menyakiti orang-orang yang di atas kami'. Jika mereka dibiarkan menurut kehendak mereka sendiri tentu mereka akan hancur bersama-sama dan jika mereka itu diambil tindakan maka akan selamatlah seluruhnya" (Hadis Riwayat Bukhari dan Nu'man).

Saturday, February 18, 2012

Kerajaan jangan lupa bela nasib golongan 'pertengahan tinggi'

KEBELAKANGAN ini kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif mudah, mesra kepada golongan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000.

Saya tidak mempersoalkan tindakan tersebut malah menyokong segala insentif yang diadakan.

Itu adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah apabila diberi undi oleh rakyat, iaitu untuk memakmurkan kehidupan rakyat yang memilihnya.

Yang saya ingin nyatakan di sini ialah, dalam kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada golongan ini, kerajaan bagaikan lupa kepada golongan 'pertengahan tinggi'. Mereka merupakan golongan yang paling banyak membayar cukai pendapatan, cukai perkhidmatan dan merupakan pencarum kepada Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Golongan pertengahan tinggi ini dikategorikan oleh kerajaan sebagai golongan berkemampuan. Tetapi mereka sebenarnya terpaksa membayar segala bentuk perkhidmatan yang diperlukan.

Antaranya yuran asrama anak yang tinggi, kos makanan anak di asrama, bayaran bulanan pembelian rumah, tol, minyak, kenderaan, khidmat Internet, khidmat kesihatan serta cukai perkhidmatan yang dikenakan kerajaan di restoran.

Mereka ini adalah pembayar cukai yang tinggi sehingga gaji bulanan yang dikategorikan sebagai tinggi dan mampu oleh kerajaan sebenarnya adalah rendah dan menyesakkan.

Namun golongan ini bagaikan tidak mendapat langsung insentif kerajaan. Yang ada mungkin hanya wang RM100 untuk bantuan persekolahan anak dan baucar buku bernilai RM200 bagi anak mereka yang belajar di universiti.

Perkhidmatan asas seperti bantuan penuh untuk anak di asrama, pengecualian cukai perkhidmatan di restoran, diskaun tol dan diskaun perkhidmatan kesihatan patut diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan pertengahan tinggi ini dalam memastikan mereka juga patut menikmati hidup yang lebih makmur.